Dan jatuhnya hanya beberapa hari
lalu terbelenggu empat ratus tahun
suatu tempoh yang amat payah dan panjang
pengabdian dan kehilangan yakin diri
43 tahun kita berdiri menebus maruah
merdeka mentafsir diri sendiri dan bangga pada
apa yang ada
masih mahukah harga itu diperjudikan?
Kita tidak akan mempertaruhkan nasib itu
di tangan kita masih panas
keringat, tulang-belulang dan tenaga fikir
menghayun langkah membina wawasan
waspada harimau di matahari terbenam
tidak akan hilang belangnya
mengisytiharkan dirinya Yam Tuan Tunggal
Sejagat
dengan hukum rimba ganas
yang lemah longlai
yang gagah gergasi
akan meruntuhkan segala sempadan rimba
atas nama membina perkampungan dunia
mahukah kita biarkan
mereka menginjak-injak dan menghancurkan
taman
kecil permai ini?
Rimba tanpa sempadan
atas nama 'kebaikan' menyelinap menusuk
matafikir
hidupan dunia ketiga terpaku takjub dengan
slogan
'kasih alam
ketelusan hukum
keadilan timbangan
kesatuan warga dunia
kebebasan mutlak'
lalu beraraklah anak-anak bumi ini meraikan
kesatuan alam
dengan sorak sorai
'runtuhkan sempadan
runtuhkan sempadan
runtuhkan korupsi
runtuhkan kolusi'
dan di belakang mereka tidak melihat
bayang-bayang belenggu halimunan
yang lebih ganas daripada segala yang ganas
kita pun akan kehilangan harga dan erti diri
mengapa diundang mereka
dan mereka tiba-tiba berada di depan pintu rumah
kita?
Kita telah bangun dengan segala kepayahan
membuka belantara dan mempertahankan warisan
kita tafsir merdeka mengikut acuan sendiri
merdeka kita dengan fikiran
dunia sudah melihat kita
dunia sudah menghormati kita
timur dan selatan mengharapkan kita
mereka datang berbondong-bondong mencari di
bumi ini
perlindungan dan erti hidup
mengapa kita sendiri masih belum mahu melihat
dengan tangan masih terbelenggu ke belakang
dan hanya sesekali menjulangnya
mengikut rentak genderang dunia matahari
terbenam?
bijak pandai pernah berpesan:
'mereka yang tidak belajar dari sejarah mereka
akan didera
dengan mengulangi kesalahan-kesalahan mereka
berkali-kali'
sejarah mengajar kita betapa kukuh sesuatu
bangsa
akan tetap kecundang bila ditikam dari belakang
mengapa kita mula halalkan sejarah hitam
berulang?
Nasib kita genggam
dengan tangan sendiri dan segala kudrat kurniaan
kita jalin kekuatan sulaman kasih bangsa
kita didihkan dia dengan tradisi semangat juang
maruah bangsa kita julang ke mercu alam
kita bangunkan suatu tamadun cinta damai
di sini kita ajar anak-anak kita erti sayang
di sini kita tawarkan dunia menaja kemanusiaan
dan bukan alat peperangan
dunia belajar erti merdeka sejati
mempelajari dan menerima segala perbezaan
merdeka mentafsir hidup tanpa paksaan kuasa
Di sini kita yakin segalanya boleh
di sini kita yakin segalanya boleh
itulah erti kemerdekaan
Perjuangan ini mesti diteruskan.